Sunday, 12 November 2017

PENGENALAN DIRI

Assalamualaikum.
Hai semua.

Pertama kali saya nak ucapkan TERIMA KASIH sebab sudi singgah ke laman blog saya yang baru lahir ini. Alhamdulillah terlahir juga blog ini di penghujung tahun 2017.

Saya mulakan dengan perkenalkan diri dulu.



Nama sebenar Anisah bt Ahmad Zairun. Short and simple je punya nama se'short' ketinggiannya jugak. Memang sejenis renek sejak kecil. Orang jerman cakap 'cute'. hehe. Dilahirkan di Hospital Daerah Batu Gajah pada 4 Julai 1992. Anak jati Perak. Cakap pun pekat loghat Perak. Sebab mak dan apak juga berasal Perak. 

Panggil ayah dengan panggilan 'apak' pun orang dah kenal dah. Ni mesti belah-belah Bota. Sebab kebanyakan masyarakat orang lama yang duduk di bahagian Bota-Parit memang memanggil bapaknya, APAK.

Berbalik kisah diri tadi. Saya merupakan anak ke 5 daripada 6 orang adik beradik. Mempunyai 3 orang kakak yang selalu menyokong saya, seorang abang dan seorang adik lelaki. Sudah berkahwin dengan seorang lelaki yang sangat saya cintai. Alhamdulillah sudah berusia 8 bulan perkahwinan kami. 



Selepas saya menamatkan pelajaran dalam bidang Modul 1 (Biologi, Kimia, Fizik) di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng, tahun 2012 kemudiannya saya meneruskan ijazah saya di sebuah universiti tempatan di Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu dalam jurusan Kimia Analisis dan Persekitaran. Alhamdulillah berjaya menamatkan pengajian pada September 2015. 

Selepas menamatkan ijazah, saya tidak tunggu lama untuk mencari dan meminta pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang saya pelajari. Saya teruskan perniagaan online yang telah saya lakukan semasa di zaman universiti sejak setahun yang lalu. Jual produk Dianz Vitamin daripada syarikat Dian Legacy Sdn. Bhd. 

Kemudian pada Januari 2016, dengan sokongan daripada mak dan kakak-kakak, saya mula melangkah ke bidang baru. Dunia baru bagi saya. Saya menyertai sebuah Kursus Bekam Asas di Pengkalan Sekyen 18, Perak. Pada mulanya saja-saja suka nak pergi kursus. Tetapi bila saya sudah mula mengorak dalam bidang rawatan Tradisional dan Komplementari ini saya mula jatuh cinta. Jatuh cinta dengan seni rawatannya. Jatuh cinta dengan ilmunya. Jatuh cinta dengan keberkesanannya. Sejak dari itu, hidup saya berubah secara total menjadi seorang perawat perubatan Tradisional & Komplementari.



Alhamdulillah perjalanan sebagai seorang perawat di usia muda ini mendapat sokongan daripada keluarga terutamanya, saudara mara, jiran tetangga dan kawan-kawan. Pada peringkat awal memulakan perniagaan perkhidmatan bekam, saya mengambil keputusan untuk bekerja sementara di pusat rawatan bekam milik kakak dan abang ipar saya di Gombak untuk mengutip sedikit pengalaman. Ketika itu, mereka sudah pun menjalani perniagaan ini selama 4 tahun. Jadi, pada kakak dan abang iparlah tempat saya belajar segalanya mengenai Diagnos Saraf Tapak Tangan, cara memberi konsultansi kepada pesakit, dan cara mengendalikan sebarang masalah kesihatan yang dihadapi oleh pesakit. Dengan berkat bersungguhnya saya belajar selama 1 bulan setengah, saya pulang ke Perak dengan tekad untuk membuka perniagaan perkhidmatan bekam secara bergerak (bekam mobile).

Kemudian, selang beberapa bulan saya ingin menambah lagi kemahiran saya dalam bidang Urutan Tradisional, Urutan Sukan dan Refleksologi dengan dua orang guru yang sangat saya segani, Chik Lan dan Tok Ayah Sabri dari Kedah. Dengan adanya ilmu dalam bidang urutan, bertambah lagi nilai tambah yang boleh saya berikan buat pesakit saya. 

Pada masa yang sama, setiap minggu Hari Selasa saya tidak lepaskan peluang menimba ilmu dengan seorang guru herba daripada HPA mengenai herba dan rawatan. Memang benar sekali, rawatan dan pemakanan sihat yakni herba memang tidak dapat dipisahkan. Bagaikan aur dengan tebing, masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam rawatan. 


Saya juga pernah menyertai sebuah Kursus Bekam Klinikal yang dianjurkan oleh Prof Dr Ab. Aziz Al-Safi Ismail di Ipoh. Dengan prof Aziz, banyak ilmu mengenai perkaitan bekam dan sains didedahkan oleh saya. Saya juga belajar mengenai pemakanan yang sihat dan cara-cara mengendalikan peralatan bekam secara klinikal dan terjamin bersih dan selamat untuk perawat dan pesakit. 


Selain daripada itu saya juga bernaung di bawah satu persatuan yang diiktiraf oleh Kementarian Kesihatan Malaysia, iaitu Malaysian Association of Naturopahic Medical Senior. Pada bulan 12 Novemeber 2016, saya menghadiri konferens pertama mereka pada peringkat Kebangsaan di Genting Highlands. Ketika konferens ini berlangsung, banyak sungguh ilmu dan pendedahan baru yang saya pelajari. Di sini juga saya mengenali ramai pengamal perubatan dari seluruh negeri yang terdiri daripada golongan Dr sehinggalah junior seperti saya.




Pada bulan November 2016 pula saya bertekad untuk menambah ilmu rawatan Akupuntur pula dengan seorang guru yang banyak memberikan ilmu kepada saya, Dr (TCM) Nur Asnawati. Alhamdulillah, saya sudah mempelajari bidang akupuntur hingga ke tahap 3. Inshaallah harapan saya tahun 2018  untuk kembali berguru dengannya hingga ke tahap 5 dan seterusnya yang lebih tinggi. Amat besar harapan saya pada rawatan akupuntur ini. Ini kerana apa yang saya fahami, setiap masalah kesihatan pesakit mempunyai pendekatan awal yang berbeza mengikut tahap masalah mereka. Hal demikian, saya perlu mengutip sebanyak mana ilmu dengan guru-guru yang bertauliah untuk sama-sama membantu saya walaupun saya baru berumur 24 tahun.


Tahun 2017 merupakan tahun mencabar buat saya. Tahun tiba-tiba perniagaan saya mulai goyang. Sedikit goyah. Tahun saya ditinggalkan oleh sahabat seperjuangan saya. Tahun saya menerima seorang lelaki yang muncul dalam kehidupan saya. Walau bagaimanapun , saya tetap bertahan. Hidup ini memang untuk diuji. Orang yang menang ialah orang yang sabar dan syukur dirinya diuji.

Alhamdulillah bulan 10 yang lepas, saya tetap meneruskan pencarian ilmu saya dalam bidang Urutan Terapeutik dengan sifu Hakim di Sentul. Mempelajari teknik-teknik yang lebih berkesan untuk pesakit-pesakit kronik terutamanya pesakit strok, kencing manis dan darah tinggi.

Pada masa yang sama, saya juga menambah nilai setiap rawatan saya dengan menyediakan konsultan pemakanan sihat Forever Living. Pemakanan yang berasaskan daun sabir (Aloe Vera), Minyak Ikan dan Minyak Zaitun, produk daripada lebah dan buah buahan. Alhamdulillah selepas saya memperkenalkan pemakanan tambahan daripada bahan semulajadi tanpa sintetik ini, pesakit saya yang ratanya mempunyai latarbelakang penyakit kronik mempunyai perubahan yang sangat baik kepada kesihatan mereka. 

Inshaallah harapan saya besar untuk melihat kesihatan mereka lebih baik dari sebelumnya dengan menerima rawatan tradisional yang saya tawarkan dan pada masa sama menjaga pemakanan mereka sebaiknya selepas rawatan supaya penyembuhan lebih cepat dan mereka mampu untuk mengerjakan ibadat dan kehidupan harian mereka dengan sempurna. Kerana perasaan cinta kepada mereka lah saya cuba berusaha bersungguh-sungguh berkorban wang, tenaga dan masa untuk menuntut ilmu pelbagai bidang untuk mebantu mereka yang memerlukan. Walaupun umur saya masih setahun jagung, semoga ilmu yang sedikit ini mampu membantu semampu saya. Dan sudah tentu ilmu inilah saya akan bawa sehingga di kandung badan. 


Untuk perancangan seterusnya tahun 2018 dengan sinar baru, semangat baru dan ilmu baru, saya juga mempunyai impian untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang kecantikan pula. Inshaallah penghujung bulan 2017 nanti saya akan menghadiri satu kursus spa yang mempelajari lebih dalam mengenai facial, urutan aromaterapi dan urutan kaki spa.

Inshaallah semoga empayar Dhuha Medicare ini menjadi lebih besar. Impian saya dalam tempoh 3 tahun sudah mempunyai Pusat Rawatan dan Kecantikan fizikal dengan beberapa orang staff. Saya juga berhasrat untuk membantu meningkatkan ekonomi golongan ibu tunggal dan anak muda  yang mengganggur tiada kerja untuk bekerja bersama saya. Itu harapan dan doa saya. Semoga saya dapat merealisasikan impian ini. Amin.



No comments:

Post a Comment

TARIKH DAN MASA YANG SESUAI BERBEKAM

Peredaran alam cekerawala, perjalanan matahari dan bulan serta pusingan bumi mempunyai hubungan rapat dengan manusia. Psikologi manusia beub...